Jumaat, 30 Oktober 2026
TERKINI
Longkang tidak dibersih punca banjir kilat di Taman Indah KLIA, SepangPRN Melaka: Kerk berdepan cabaran sengit pertahan Ayer Keroh, Gerakan diuji isu 'perpaduan Melayu'Kiandee persoal Bersatu: Pecat juga Muhyiddin dan lima Ahli Parlimen yang tandatangani CSA?Pembinaan pertahanan di Sabah bukan tindak balas terhadap Filipina – KhaledPeruntukan jalan luar bandar naik hampir tiga kali ganda, projek tidak dibatalkan – Tengku ZafrulPulau Pinang unjur defisit bajet terendah RM5.26 juta bagi 2027Mahkamah Tinggi Shah Alam benar bekas olimpik simpan tiga kucing di kondominiumPersiapan Deepavali rancak di seluruh negara, pasar dan kedai mula dibanjiri pengunjungPindaan UUCA dibentang Disember, kerajaan kaji nyahklasifikasi dokumen sejarahPolis siasat paparan kandungan lucah pada LED milik Majlis Perbandaran Kluang

Trump hanya akan terima keputusan pilihan raya pertengahan penggal 'jika ia jujur'

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau akan menghormati keputusan pilihan raya pertengahan penggal minggu depan, tetapi dengan syarat pilihan raya itu dijalankan secara jujur.

"Saya akan (hormati), jika ia pilihan raya yang jujur," kata Trump kepada pemberita di Pangkalan Bersama Andrews berhampiran Washington sebelum berlepas ke Texas untuk berkempen.

Kenyataan itu dibuat ketika tinjauan menunjukkan Parti Republikan berdepan kemungkinan hilang kawalan ke atas Kongres, manakala Trump pula semakin lantang mengulangi dakwaan penipuan undi besar-besaran yang tidak berasas sejak beberapa tahun lalu.

Presiden berusia 80 tahun itu turut memberi jaminan berhati-hati bahawa beliau akan bekerjasama dengan Parti Demokrat jika Republikan tewas di Dewan Perwakilan dan Senat.

"Kita akan cari jalan. Saya ada kuasa veto yang kuat. Saya harap itu tidak akan berlaku, tetapi jika ia berlaku, ia pernah berlaku kepada ramai presiden sebelum ini," katanya, sambil menambah bahawa kuasa veto akhirnya membawa kepada rundingan dan perjanjian.

Republikan bimbang berlakunya "gelombang biru" Demokrat apabila pengundi dijangka menghukum parti itu atas inflasi yang didorong kenaikan harga minyak sejak Trump melancarkan perang ke atas Iran.

Sepanjang sebulan lalu, Trump mengadakan perhimpunan hampir setiap hari di seluruh AS bagi meningkatkan keluar mengundi dalam kalangan penyokong tegar MAGA, sambil menegaskan hanya beliau yang mampu mengelak kekalahan parti.

Lawatan ketiganya ke Texas dalam tempoh sebulan mencerminkan kebimbangan itu, dengan tinjauan menunjukkan persaingan sengit bagi kerusi Senat di negeri yang menjadi kubu kuat Republikan lebih 30 tahun.

Di Texas, Trump berkata beliau akan menerima "hadiah" daripada Venezuela berupa sebuah kapal tangki yang membawa satu juta tong minyak. Pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro digulingkan dalam operasi ketenteraan AS pada Januari lalu.

Beliau akan disertai Setiausaha Negara, Marco Rubio yang jarang turun berkempen, dan ramai percaya Rubio akan bertanding dalam pilihan raya presiden 2028.

Sejak tewas kepada Joe Biden pada pilihan raya presiden 2020, Trump terus mengulangi dakwaan penipuan undi. Selepas kekalahan itu, beliau didakwa menghasut penunjuk perasaan yang kemudiannya menyerbu Bangunan Capitol pada 6 Januari 2021 dalam usaha menghalang pengesahan keputusan pilihan raya.

Sesetengah pengkritik kini bimbang Trump sedang membuka jalan untuk mencabar keputusan pilihan raya pertengahan penggal, malah mungkin menggunakan kuasa darurat.

Pada Isnin, Trump menawarkan ganjaran tunai AS$1 juta kepada sesiapa yang mempunyai maklumat yang membawa kepada sabitan kes penipuan undi.

TopikDonald TrumpAmerika Syarikatpilihan raya pertengahan penggalParti Republikan

Berita berkaitan