Kiandee persoal Bersatu: Pecat juga Muhyiddin dan lima Ahli Parlimen yang tandatangani CSA?

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Beluran, Kiandee, mempersoalkan sama ada Bersatu akan mengenakan tindakan disiplin yang sama terhadap enam Ahli Parlimennya yang menandatangani perjanjian bersama kerajaan, seperti yang dilakukan terhadap mereka yang pernah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Enam Ahli Parlimen yang menandatangani CSA bersama kerajaan semalam ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Radzi Jidin (Putrajaya), Ali Biju (Saratok), Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Azman Nasrudin (Padang Serai).
Perjanjian itu turut ditandatangani Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat parti pada 2024 kerana mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Kiandee mengingatkan bahawa enam bekas Ahli Parlimen Bersatu itu pernah dilabel pengkhianat dan keahlian mereka ditamatkan kerana menyokong Anwar.
"Jika prinsip yang sama digunakan, keahlian enam Ahli Parlimen ini (yang menandatangani CSA), termasuk presiden sendiri, sepatutnya ditamatkan secara automatik. Barulah parti konsisten.
"Jika tidak, keahlian enam Ahli Parlimen sebelum ini wajar dipulihkan," katanya.
Kiandee turut menyindir dengan mengucapkan tahniah kepada parti atas pendirian yang disifatkannya semakin tidak konsisten, selain menyatakan harapan agar Ahli Parlimen terbabit dapat menggunakan peruntukan kerajaan mereka sebelum akhir tahun.
Beliau juga mempersoalkan sama ada masa perjanjian itu dimeterai berkait dengan persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan pilihan raya umum akan datang.
"Jika begitu, bagaimana ia selari dengan prinsip dan perjuangan yang selama ini dipertahankan parti?" katanya.
Foto: Michał Józefaciuk / Wikimedia Commons (CC BY-SA 3.0 pl)




