Pulau Pinang unjur defisit bajet terendah RM5.26 juta bagi 2027

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang menganggarkan defisit bajet sebanyak RM5.26 juta bagi 2027, paling rendah pernah dicatatkan negeri itu, berdasarkan unjuran hasil negeri RM1.069 bilion.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata bajet tahun depan RM14 juta lebih kecil daripada peruntukan tahun ini sebanyak RM1.088 bilion. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2027 di Dewan Undangan Negeri pada Jumaat.
Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Pulau Pinang mencatat defisit bajet terendah, selepas defisit RM19.92 juta yang diunjurkan bagi 2026.
Chow berkata, negeri itu mengutip hasil RM847.53 juta dari Januari hingga 30 Oktober, bersamaan 79.35 peratus sasaran tahunan. “Kerajaan negeri akan terus memantau kutipan hasil dan mempergiat usaha bagi memastikan sasaran 2026 sebanyak RM1.068 bilion dapat dicapai,” katanya.
Kutipan cukai tanah pula meningkat 44.41 peratus atau RM51.54 juta kepada RM167.59 juta setakat 29 Oktober, berbanding RM116.05 juta pada 2025. Menurut beliau, peningkatan itu hasil semakan cukai tanah tahun ini, yang pertama dalam tempoh 32 tahun.
Bagi 2027, kerajaan negeri bersetuju mengekalkan rebat cukai tanah 50 peratus tertakluk kepada syarat berkaitan. Bantuan kewangan khas bersamaan gaji sebulan turut diumumkan untuk penjawat awam negeri.
Antara peruntukan lain, RM58 juta untuk program bantuan i-Sejahtera dan RM8 juta untuk inisiatif Bantuan Agenda Ekonomi Saksama. Kerajaan negeri turut menyediakan RM16.8 juta subsidi program bas awam, RM9 juta untuk insentif sekali beri RM600 kepada pemandu e-hailing, serta RM1.2 juta untuk insentif pemandu teksi dan bas sekolah.
Sebanyak RM16.45 juta diperuntukkan bagi projek mitigasi banjir dan RM6.5 juta untuk inisiatif pertanian.
Dalam bidang sukan, RM7.15 juta disalurkan kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) untuk pembangunan atlet dan RM5 juta kepada Perbadanan Stadium dan Ruang Terbuka Pulau Pinang bagi menaik taraf prasarana sukan. Memandangkan Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA tahun depan bersama Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak, RM15 juta turut diperuntukkan kepada MSNPP untuk persiapan temasya itu.




