SPR adakan mesyuarat khas 6 November tetapkan tarikh penting PRN Sarawak ke-13

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat, 6 November ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dan diikuti sidang media untuk mengumumkan butirannya.
"Mesyuarat itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Sarawak ke-13 termasuk pengeluaran writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari mengundi, selain daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi pilihan raya tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, SPR juga telah menerima pemberitahuan rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar yang mengesahkan pembubaran DUN Sarawak ke-19 menurut Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak.
"Di bawah Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran," katanya.
Jumaat lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pembubaran DUN negeri itu berkuat kuasa Isnin, 26 Oktober, bagi memberi laluan kepada PRN.
Foto: CEphoto, Uwe Aranas / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




