Rafizi persoalkan pasukan petugas jenayah kewangan baharu, adakah untuk tutup isu 'mafia korporat'

KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli mempersoalkan motif kerajaan menubuhkan satu lagi pasukan petugas khas untuk menyiasat jenayah kewangan, di tengah penelitian berterusan terhadap dakwaan skandal 'mafia korporat'.
Pemimpin bersama Bersama itu berkata beberapa siasatan telah dijalankan sejak skandal itu tercetus awal tahun ini, lalu mempersoalkan sama ada siasatan terbaharu bertujuan menutup isu yang belum selesai dan mengalih perhatian orang ramai. Rafizi, bekas timbalan presiden PKR, berkata pelantikan Peguam Negara Dusuki Mokhtar mengetuai Jawatankuasa Siasatan Khas Jenayah Kewangan itu menimbulkan beberapa persoalan.
Antaranya status siasatan dan laporan terdahulu berkaitan skandal itu, khususnya laporan mengenai pegangan saham bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, yang telah dibentangkan kepada Kabinet. "Adakah skop jawatankuasa ini diperluas meliputi jenayah kewangan secara keseluruhan, bukan hanya skandal mafia korporat? Berapa banyak wang awam akan dibazirkan jika siasatan dimulakan semula sedangkan pelbagai laporan dan siasatan telah siap?" soalnya.
Kenyataan Rafizi dikeluarkan sehari selepas Dusuki mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan petugas itu. Beliau turut mendakwa kerajaan mungkin mengelirukan orang ramai dengan mencampuradukkan skandal mafia korporat dengan isu jenayah kewangan yang lebih luas, berdasarkan pemantauannya terhadap hantaran media sosial individu yang didakwanya penggerak siber kerajaan.
Rafizi menggariskan lima soalan asas yang menurutnya perlu dijawab kerajaan. Antaranya dakwaan bahawa ahli perniagaan yang juga bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, campur tangan dalam urusan kerajaan dan agensi penguat kuasa, serta agensi seperti polis dan SPRM digunakan untuk menakut-nakutkan pemilik syarikat dan pemegang saham bagi kepentingan pihak tertentu. Beliau turut merujuk dakwaan ahli perniagaan Victor Chin bahawa seorang menteri Kabinet menerima rasuah RM9.5 juta untuk menyelesaikan kes mafia korporat.
"Siasatan yang berjaya menyelesaikan lima persoalan ini harus membawa kepada pendakwaan berasaskan bukti di mahkamah. Sebaliknya, jika kelima-lima soalan ini kekal tidak berjawab dan kerajaan dilihat menggunakan helah untuk menutupnya, semua usaha mengalih perhatian orang ramai akan gagal," katanya.
Azam menolak dakwaan yang mengaitkan pegawai SPRM dengan mafia korporat sebagai tidak berasas dan menafikan melakukan kesalahan berhubung pegangan sahamnya dalam Velocity Capital Partner Bhd. Beliau turut memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Bloomberg. Farhash pula menafikan mempunyai urusan perniagaan dengan Azam atau cuba menguasai NexG Bhd, dan mengeluarkan surat tuntutan terhadap Channel News Asia. Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, turut menafikan dakwaan beliau meminta RM10 juta daripada Chin untuk menyelesaikan isu berkaitan mafia korporat.




