PRN Sarawak: 7,469 anggota polis bertugas, kekurangan 889 anggota dipohon dari Bukit Aman

KUCHING: Polis Sarawak memohon bantuan tambahan anggota daripada kontinjen lain bagi menampung kekurangan 889 pegawai dan anggota untuk bertugas sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 yang akan datang.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Timbalan Pesuruhjaya Saifullizan Ishak berkata seramai 7,469 daripada 9,979 pegawai dan anggota polis di negeri itu, atau 75 peratus, akan ditugaskan sepanjang tempoh pilihan raya.
“Baki 25 peratus, iaitu 2,510 anggota, akan meneruskan tugas harian seperti biasa.
“Bagaimanapun, kita kekurangan 889 pegawai dan anggota untuk pilihan raya ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.
Saifullizan berkata pihaknya telah menulis surat kepada Bukit Aman bagi memohon tambahan tenaga kerja yang diperlukan.
“Anggota tambahan kemungkinan besar akan datang dari Sabah, tetapi kita serahkan kepada Bukit Aman untuk membuat aturan.
“Kita pernah membantu semasa pilihan raya Sabah sebelum ini, jadi kita harap Sabah bersedia membantu kita,” katanya.
Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan pada Isnin lalu, membuka laluan kepada PRN yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 6 November ini bagi menetapkan tarikh penting pilihan raya tersebut, termasuk hari penamaan calon dan hari mengundi.




