Jumaat, 30 Oktober 2026
TERKINI
Longkang tidak dibersih punca banjir kilat di Taman Indah KLIA, SepangPRN Melaka: Kerk berdepan cabaran sengit pertahan Ayer Keroh, Gerakan diuji isu 'perpaduan Melayu'Kiandee persoal Bersatu: Pecat juga Muhyiddin dan lima Ahli Parlimen yang tandatangani CSA?Pembinaan pertahanan di Sabah bukan tindak balas terhadap Filipina – KhaledPeruntukan jalan luar bandar naik hampir tiga kali ganda, projek tidak dibatalkan – Tengku ZafrulPulau Pinang unjur defisit bajet terendah RM5.26 juta bagi 2027Mahkamah Tinggi Shah Alam benar bekas olimpik simpan tiga kucing di kondominiumPersiapan Deepavali rancak di seluruh negara, pasar dan kedai mula dibanjiri pengunjungPindaan UUCA dibentang Disember, kerajaan kaji nyahklasifikasi dokumen sejarahPolis siasat paparan kandungan lucah pada LED milik Majlis Perbandaran Kluang

Pemulihan aset 1MDB tidak mampu padam kerugian berpuluh bilion ringgit – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR: Malaysia akan tetap menanggung kerugian berbilion ringgit daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak kira berapa banyak lagi dana dan aset yang berjaya dipulihkan kerajaan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurut beliau, sebarang pemulihan aset tambahan tidak akan menampung sepenuhnya kerugian kewangan negara, manakala kesan terhadap keyakinan pelabur susulan pendedahan skandal itu juga masih membimbangkan.

"Walaupun terdapat potensi yang baik untuk pemulihan tambahan berdasarkan kekuatan kes kerajaan dalam menuntut pampasan daripada pihak yang bertanggungjawab, pemulihan ini tidak akan menghapuskan kerugian akibat skandal 1MDB atau mengurangkan kerugian negara daripada berpuluh bilion ringgit," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah berkata, sejak 2017 kerajaan telah membelanjakan RM18.7 bilion daripada peruntukan mengurus dan pembangunan yang diluluskan dalam belanjawan tahunan bagi memenuhi obligasi kewangan 1MDB.

Pada Mac 2023 sahaja, kerajaan terpaksa memperuntukkan RM13 bilion daripada perbelanjaan pembangunan untuk menebus bon 1MDB bernilai AS$3 bilion yang dijamin kerajaan. Jumlah itu, katanya, mewakili kira-kira 13.1 peratus daripada peruntukan pembangunan RM99 bilion bagi tahun tersebut.

Dana itu, menurut beliau, sepatutnya boleh digunakan untuk membiayai keutamaan pembangunan negara seperti pembinaan sekolah dan hospital, infrastruktur jalan raya, bekalan air luar bandar serta program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Sehingga 31 Ogos 2026, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi hutang dan komitmen berkaitan 1MDB, termasuk prinsipal, faedah dan kos lain. Baki RM8.9 bilion lagi perlu dibayar di bawah Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang dijamin kerajaan, iaitu RM5 bilion prinsipal dan RM3.9 bilion faedah, dengan sukuk itu matang pada 2039.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang telah dan perlu dibayar mencecah RM51.4 bilion. Selepas mengambil kira RM31.3 bilion dana dan aset yang telah dipulihkan, beban kewangan bersih kerajaan dianggarkan RM20.1 bilion, dengan andaian tiada pemulihan lanjut.

Amir Hamzah turut menjelaskan bahawa penyelesaian hutang 1MDB tidak bermakna kerajaan telah memperoleh semula dana awam yang dibelanjakan untuk obligasi tersebut.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak dapat menentukan berapa banyak yang akhirnya akan diperoleh semula daripada tuntutan yang masih belum selesai kerana ia bergantung kepada keputusan mahkamah, rayuan, pengenalpastian aset serta keupayaan menguatkuasakan perintah mahkamah, terutamanya di luar negara.

"Oleh itu, jumlah yang dituntut dalam prosiding undang-undang atau diawardkan oleh mahkamah tidak boleh secara automatik dianggap sebagai dana yang akhirnya akan dikembalikan kepada Malaysia," katanya.

Menurutnya, kerajaan belum menetapkan tarikh akhir untuk menyelesaikan semua tuntutan undang-undang dan usaha pemulihan aset 1MDB, dan tarikh matang sukuk pada 2039 tidak berkaitan dengan garis masa prosiding tersebut.

Beliau menjawab soalan Howard Lee (PH-Ipoh Timor) mengenai sasaran kerajaan untuk menyelesaikan baki liabiliti bersih 1MDB dan anggaran nilai tuntutan pemulihan aset yang masih tertunggak.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Khamis lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa sebarang perkembangan berkaitan hukuman jenayah atau pengampunan diraja terhadap mana-mana individu tidak secara automatik menghapuskan tuntutan sivil bagi mendapatkan semula dana awam yang diselewengkan.

Topik1MDBAmir Hamzah AzizanDewan RakyatKementerian Kewangan

Foto: Embassy of Japan in Malaysia (在マレーシア日本国大使館) / Wikimedia Commons (CC BY 4.0)

Berita berkaitan