Jumaat, 30 Oktober 2026
TERKINI
Longkang tidak dibersih punca banjir kilat di Taman Indah KLIA, SepangPRN Melaka: Kerk berdepan cabaran sengit pertahan Ayer Keroh, Gerakan diuji isu 'perpaduan Melayu'Kiandee persoal Bersatu: Pecat juga Muhyiddin dan lima Ahli Parlimen yang tandatangani CSA?Pembinaan pertahanan di Sabah bukan tindak balas terhadap Filipina – KhaledPeruntukan jalan luar bandar naik hampir tiga kali ganda, projek tidak dibatalkan – Tengku ZafrulPulau Pinang unjur defisit bajet terendah RM5.26 juta bagi 2027Mahkamah Tinggi Shah Alam benar bekas olimpik simpan tiga kucing di kondominiumPersiapan Deepavali rancak di seluruh negara, pasar dan kedai mula dibanjiri pengunjungPindaan UUCA dibentang Disember, kerajaan kaji nyahklasifikasi dokumen sejarahPolis siasat paparan kandungan lucah pada LED milik Majlis Perbandaran Kluang

Pembinaan LCS capai 80.72 peratus, ketinggalan daripada sasaran 89.91 peratus

KUALA LUMPUR: Projek pembinaan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) mencatat kemajuan fizikal 80.72 peratus setakat 25 September lalu, namun masih ketinggalan berbanding sasaran jadual sebanyak 89.91 peratus.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (Lunas) setakat ini telah membuat tuntutan berjumlah RM8.96 bilion, bersamaan 79.82 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak projek itu yang berjumlah RM11.227 bilion.

Maklumat itu terkandung dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran) yang meminta perkembangan terkini kemajuan fizikal dan kewangan kelima-lima kapal, jadual penyerahan serta penggantian sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM).

Menurut Mohamed Khaled, kesemua kapal itu dibina serentak tetapi berada pada tahap penyiapan yang berbeza.

"Setakat 25 September, kapal pertama, LCS1, telah mencapai 86.78 peratus penyiapan, diikuti LCS2 pada 82.76 peratus dan LCS3 pada 75.84 peratus.

"Kemajuan LCS4 dan LCS5 pula masing-masing berada pada 65.48 peratus dan 56.82 peratus," katanya.

Berdasarkan jadual penyerahan yang disemak semula oleh Lunas, kapal pertama dijangka diserahkan pada April tahun depan, diikuti kapal kedua pada Ogos 2027 dan kapal ketiga pada Disember 2027.

Dua lagi kapal dijadualkan diserahkan masing-masing pada Ogos 2028 dan April 2029.

Mohamed Khaled berkata, kapal pertama, KD Maharaja Lela, kini memasuki fasa ujian laut di limbungan yang dikendalikan Lunas bagi menguji dan mengesahkan prestasi serta fungsi sistemnya sebelum menjalani Ujian Penerimaan Laut bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Kapal itu sebelum ini telah melalui beberapa Ujian Penerimaan Pelabuhan dan pelayaran awal untuk menguji sistem utamanya, termasuk jentera, penjanaan kuasa dan pendorongan," katanya.

Mengenai penggantian sistem NSM, beliau berkata kementerian berada di peringkat akhir penilaian terhadap tiga pilihan peluru berpandu permukaan ke permukaan yang dicadangkan TLDM.

"Penilaian itu mengambil kira keperluan operasi, keserasian dengan kapal, implikasi kos dan tempoh perolehan. Keputusan muktamad akan dibuat sebaik sahaja satu pilihan dipersetujui dan perjanjian perolehan ditandatangani," katanya.

Dalam jawapan bertulis berasingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan kekal terbuka untuk mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau mekanisme lain yang sesuai sekiranya perlu demi kepentingan awam.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat menubuhkan RCI berhubung Felda dan projek LCS, susulan pembentangan laporan RCI mengenai Tabung Haji.

Azalina berkata, sebarang cadangan untuk menyiasat dakwaan penyelewengan dalam pengurusan dana awam akan dipertimbangkan mengikut prosedur undang-undang, dengan mengambil kira fakta, dapatan dan perkembangan siasatan pihak berkuasa yang sedang berjalan.

TopikLCSMohamed Khaled NordinKementerian PertahananTLDMLunas

Berita berkaitan