KPM teliti dakwaan kartel tender makanan sekolah, sedia bekerjasama dengan SPRM

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti dakwaan bahawa syarikat-syarikat yang berkongsi alamat berdaftar yang sama mungkin terlibat dalam kartel atau pakatan bagi tender Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) Fasa Dua 2026 untuk tempoh 2027 hingga 2029.
Ketua Setiausaha KPM, Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata, kementerian memandang serius dakwaan tersebut dan bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya semakan atau siasatan lanjut diperlukan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan dakwaan kartel atau pakatan perlu dinilai berdasarkan fakta dan bukti yang kukuh, bukan semata-mata kerana persamaan alamat berdaftar atau latar belakang perniagaan syarikat.
"Apa-apa perkara yang boleh menimbulkan keraguan terhadap integriti proses perolehan, termasuk hubungan antara petender, kemungkinan konflik kepentingan dan corak bidaan, akan diteliti sewajarnya bagi memastikan ketelusan dan integriti terpelihara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kenyataan itu menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan berhubung keputusan tender BMB Fasa Dua.
Menurut Wan Hashim, sebanyak 245 tender diiklankan di bawah fasa tersebut dengan penyertaan 62,641 petender. Daripada jumlah itu, 242 tender diberikan kepada syarikat berjaya, dua dibatalkan kerana kerja naik taraf blok asrama dan satu ditangguhkan berikutan perubahan tarikh mula kontrak.
Beliau turut menjelaskan perbezaan nilai kontrak, dengan kontrak tertinggi bernilai RM38.7 juta melibatkan sebuah sekolah sukan yang memerlukan menu berkhasiat dan seimbang untuk memenuhi keperluan diet atlet berprestasi tinggi.
Kos makanan harian di sekolah sukan itu dianggarkan antara RM90.84 hingga RM92.93 bagi setiap pelajar, berbanding RM26.10 hingga RM31.65 seorang sehari di sekolah rendah dan menengah biasa.
Mengenai kelayakan pembekal, Wan Hashim berkata semua syarikat berjaya berdaftar secara sah dengan Kementerian Kewangan di bawah Kod Bidang 040103 bagi makanan bermasak Muslim, dan dinilai berdasarkan pengalaman, pematuhan teknikal serta keupayaan melaksanakan kontrak.
Bagi syarikat yang menggunakan alamat kediaman sebagai alamat berdaftar, beliau berkata penyediaan makanan dilakukan sepenuhnya di dapur sekolah atau institusi berkenaan dan bukan di premis pembekal. Namun, kementerian mengambil maklum dapatan mengenai syarikat yang berkongsi alamat sama dan akan meneliti perkara itu bagi memperkukuh tadbir urus tender.
Syarikat terpilih juga perlu mempunyai modal kerja sekurang-kurangnya tiga hingga lima peratus daripada anggaran nilai kontrak, manakala penyata kewangan mereka disemak silang dengan institusi perbankan sebelum Surat Setuju Terima dikeluarkan.
Dalam pada itu, Wan Hashim menafikan dakwaan bahawa tender BMB bagi asrama SMK Seri Badong di Kedah diberikan kepada syarikat yang berdaftar di Terengganu, sebaliknya petender berjaya mempunyai alamat berdaftar di Yan, Kedah.
Beliau menambah, tiada keputusan tender BMB Fasa Dua yang telah dimuktamadkan secara sah dibatalkan, dan maklumat rasmi keputusan perolehan boleh disemak menerusi portal MyProcurement.
Foto: Douglas P Perkins / Wikimedia Commons (CC BY 3.0)




