Zahid nafi cuba sabotaj kerajaan perpaduan, sedia tunjuk surat arahan batal SST projek

JASIN: Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menafikan beliau berniat menyabotaj kerajaan perpaduan menerusi kenyataannya mengenai projek luar bandar yang ditangguhkan atau dibatalkan.
Beliau menegaskan kenyataannya berhubung penangguhan atau pembatalan surat setuju terima (SST) projek berkenaan adalah tepat dan bersedia mengemukakan bukti dokumen bagi menjawab dakwaan terhadapnya.
"Saya tidak ada niat untuk berbuat demikian (sabotaj), tetapi itulah fakta… Sama ada ditangguhkan atau dibatalkan, apa yang jelas ialah semua SST yang telah dan akan dikeluarkan diarahkan supaya dibatalkan," katanya.
Zahid berkata beliau memiliki bukti surat arahan yang dikeluarkan dan boleh menunjukkannya kepada Ahli Parlimen Jelutong. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan satu program di Dewan MPJ Alamanda di sini hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, mendakwa Zahid cuba menyabotaj kerajaan perpaduan menerusi kenyataan mengenai penangguhan beberapa projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Menurut Rayer, kenyataan itu menjadikan kerajaan kelihatan tidak peduli terhadap masalah infrastruktur yang dihadapi dua negeri berkenaan serta masyarakat luar bandar di Semenanjung. Beliau turut mendakwa Zahid bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.
Minggu lalu, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027, Zahid mendakwa projek di Sabah dan Sarawak ditangguhkan atas arahan ketua setiausaha kementeriannya, walaupun dana telah diperuntukkan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kemudian menolak dakwaan bahawa Kementerian Kewangan membatalkan projek. Beliau berkata kementerian pembangunan luar bandar hanya diminta menangguhkan pemberian kontrak jalan baharu sehingga bil tertunggak dijelaskan.




