Selasa, 3 November 2026
TERKINI
Jualan Proton Oktober cecah 21,624 unit, kedua tertinggi tahun iniWanita didakwa pukul dua kanak-kanak di pusat beli-belah Kuala Lumpur ditahanKerajaan kaji pengecualian bayaran balik PTPTN untuk peminjam lama – Amir HamzahJais: Kandang penyembelihan ayam di Puchong dipercayai dikendalikan beberapa syarikatNaib presiden MCA kritik Wong Kah Woh isu pengurangan waktu Bahasa Cina di SJKCKerajaan peruntuk lebih RM200 juta untuk sambungan ECRL ke Rantau PanjangWang tak dituntut cecah lebih RM14 bilion setakat September 2026 – Amir HamzahTiada pemain JDT dalam skuad Harimau Malaya, Cheng Hoe panggil 24 pemain ke China11 universiti Malaysia dalam 100 teratas Asia, UKM masuk 20 terbaik buat kali pertamaMana perginya janji 50 peratus cukai vape untuk kesihatan? Ahli Parlimen persoal

Kerajaan peruntuk lebih RM200 juta untuk sambungan ECRL ke Rantau Panjang

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan lebih RM200 juta bagi melaksanakan kerja awalan cadangan pemanjangan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, peruntukan itu merangkumi RM30 juta bagi pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu, manakala selebihnya, iaitu lebih RM200 juta, untuk kerja awalan pemanjangan jajaran ke Rantau Panjang.

Menurut kementerian itu, fasa awal pemanjangan tersebut meliputi kerja reka bentuk awal, ukur dan penyiasatan tanah, Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA), penyediaan Skim Kereta Api serta kerja penyediaan tapak bagi membolehkan projek dilaksanakan pada fasa seterusnya.

MoF menjelaskan pelaburan itu bukan sekadar membina infrastruktur pengangkutan, malah membuka laluan kepada masa depan ekonomi Kelantan yang lebih berdaya saing, termasuk merancakkan aktiviti perniagaan, memperkukuh sektor logistik, menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

"Kerajaan percaya bahawa pembangunan negara mesti bersifat terangkum dan seimbang. Kemajuan tidak seharusnya tertumpu di bandar-bandar utama semata-mata, sebaliknya perlu dirasai oleh rakyat di seluruh negara, termasuk di Kelantan," kata kementerian itu.

Perkhidmatan ECRL yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan, ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor, dijadualkan memulakan operasi komersial pada pertengahan Disember ini.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu melibatkan 20 stesen merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Perjalanan dari Kota Bharu ke Gombak dianggarkan mengambil masa kira-kira empat jam.

Sementara itu, terminal bas bersepadu di Stesen ECRL Kota Bharu dirancang bagi menyediakan kemudahan pengangkutan pengantara kepada penumpang yang menggunakan perkhidmatan kereta api berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal sebelum ini memaklumkan, kerajaan negeri menyediakan tanah seluas 2.02 hektar di Tunjong bagi pembangunan terminal itu, yang terletak bersebelahan Stesen ECRL Kota Bharu.

Terminal berkenaan akan menghubungkan perkhidmatan ECRL dengan pengangkutan awam lain, termasuk bas ekspres, bas henti-henti, teksi dan perkhidmatan e-panggilan, bagi memudahkan pergerakan penumpang ke destinasi masing-masing.

TopikECRLRantau PanjangKota BharuKelantanKementerian Kewangan

Berita berkaitan