Selasa, 3 November 2026
TERKINI
Jais: Kandang penyembelihan ayam di Puchong dipercayai dikendalikan beberapa syarikatNaib presiden MCA kritik Wong Kah Woh isu pengurangan waktu Bahasa Cina di SJKCKerajaan peruntuk lebih RM200 juta untuk sambungan ECRL ke Rantau PanjangWang tak dituntut cecah lebih RM14 bilion setakat September 2026 – Amir HamzahTiada pemain JDT dalam skuad Harimau Malaya, Cheng Hoe panggil 24 pemain ke China11 universiti Malaysia dalam 100 teratas Asia, UKM masuk 20 terbaik buat kali pertamaMana perginya janji 50 peratus cukai vape untuk kesihatan? Ahli Parlimen persoalHadi kaitkan CSA dengan 'pendekatan Dajjal di akhir zaman'Kumpulan masyarakat sivil gesa pakatan lapan reformasi libatkan semua 218 Ahli ParlimenKerajaan kekal subsidi bersasar, tolak cadangan harga minyak ikut pasaran – Amir Hamzah

Perniagaan beretika kunci kepercayaan pelabur – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa mana-mana syarikat yang mengajak rakyat Malaysia melabur dalam perniagaan mereka mestilah beretika.

Menurut beliau, perniagaan yang baik seharusnya dapat menjana modal dengan terma yang adil.

"Rakyat Malaysia yang menyimpan dan melabur harus dapat mempercayai institusi di sebalik pasaran," katanya dalam ucapan pada majlis makan malam gala sempena ulang tahun ke-50 Bursa Malaysia di sini malam ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Bursa Malaysia berperanan membantu syarikat peringkat pertengahan melangkah ke peringkat seterusnya.

"Saya mahu melihat lebih banyak syarikat peringkat pertengahan berkembang, tersenarai dan menjadi juara serantau. Terlalu banyak syarikat yang baik kekal kecil terlalu lama," katanya.

Jika usaha itu berjaya, katanya, lebih banyak perniagaan Malaysia akan berkembang, lebih banyak pekerjaan yang baik diwujudkan dan lebih ramai rakyat memiliki saham dalam kemajuan negara.

Beliau berkata ketegangan geopolitik turut mengubah landskap perdagangan dan pelaburan, manakala teknologi mengubah cara kerja dilakukan. Peralihan tenaga pula mewujudkan keperluan baharu terhadap modal.

"Syarikat Malaysia perlu naik ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai merentasi semikonduktor, pembuatan termaju dan teknologi digital serta bersaing dengan yakin di luar negara," katanya.

Anwar turut menyatakan Malaysia mempunyai kekuatan sebenar, antaranya Bursa Malaysia menjadi tempat urus niaga bagi penanda aras global niaga hadapan minyak sawit mentah.

Katanya, kira-kira 80 peratus sekuriti yang tersenarai di Bursa Malaysia mematuhi Syariah dan bursa itu diiktiraf sebagai Bursa Saham Terbaik bagi Penyenaraian Islam untuk tahun kesembilan berturut-turut.

"Kita wajar berbangga dengan pencapaian itu dan terus membinanya," katanya.

Mengimbau perjalanan pasaran modal negara, beliau berkata krisis kewangan dan pandemik telah menguji syarikat, pelabur dan pengawal selia. "Menerusi setiap satunya, pasaran modal terus menjalankan tugasnya, dengan pelaburan terus mengalir dan membantu ekonomi pulih," katanya.

Anwar turut menghargai barisan kepimpinan Bursa Malaysia dahulu dan kini, pengawal selia, peserta pasaran serta mereka yang kerja hariannya memastikan institusi itu terus berjalan, selain berterima kasih kepada pengawal selia yang melindungi integriti pasaran.

"Saya berharap apabila rakyat Malaysia menyambut seabad Bursa Malaysia kelak, mereka masih menemui institusi yang dipercayai, pasaran yang berkhidmat kepada usahawan Malaysia dan tempat idea yang baik boleh mendapat modal untuk berkembang," katanya.

TopikAnwar IbrahimBursa Malaysiapasaran modalpelabur

Berita berkaitan